Sabtu, Mei 16, 2009

Bab 1 - Memuliakan Tetamu

Daripada Abu Syuraih Khuwailid bin 'Amru al-Khuza'i RA berkata: "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

"Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat maka hendaklah dia memuliakan tetamunya dan memberikan haknya." Mereka bertanya, "Apakah haknya itu, hai Rasulullah?" Sabda Rasulullah SAW, "Layanan sehari semalam dan hak tetamu tiga hari. Maka selepas itu hanyalah sedekah ke atasnya.""

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Khamis, Mei 14, 2009

1 - Bab Larangan Bersifat Bakhil dan Kikir

Daripada Jabir RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Takutlah kamu daripada melakukan perbuatan zalim kerana sesungguhnya perbuatan tersebut akan membawa kegelapan pada Hari Kiamat, dan takutlah kamu daripada bersifat bakhil kerana sesungguhnya perbuatan tersebut membawa kebinasaan kepada orang-orang yang sebelum kamu, mereka sanggup melakukan pertumpahan darah sesama sendiri dan menghalalkan yang haram."

(Hadis riwayat Muslim)

Sabtu, Januari 03, 2009

Pengenalan

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Saya bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, yang tiada sekutu bagi-Nya. Saya juga bersaksi bahawa Muhammad itu Hamba Allah dan Pesuruh-Nya. Selawat dan salam ke atas junjungan baginda, Ahlul-Bait, para Sahabat, para Tabi'in dan Para Tabi' Tabi'in.

Alhamdulillah, laman web ini berjaya dicipta dan direka dengan sebaik mungkin berkat izin dan keredaan Allah SWT. Bercakap tentang laman web ini, ilham tersebut timbul setelah memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku. Laman web ini juga dicipta sebagai bahan tambahan sebagai wadah penyebaran as-Sunnah kepada seluruh masyarakat amnya, dan kepada pelajar-pelajar St. Joseph yang bakal mengikuti kuliah hadith saya (insya-Allah), khususnya.

As-Sunnah merupakan rujukan kedua tertinggi selepas al-Quran. Ia berperanan melengkapkan dan menghuraikan lagi hukum-hakam yang terdapat di dalam al-Quran. Namun, disebabkan formatnya dalam bentuk penceritaan dan periwayatan yang mana bukan sahaja terdedah kepada pentafsiran yang berbeza, malah terdedah kepada penokoktambahan dan juga perekaan hadith-hadith palsu. Oleh yang demikian, saya merasakan pendidikan as-Sunnah perlu dititikberatkan tanpa mengabaikan pendidikan al-Quran. Pembinaan laman web ini merupakan salah satu daripada usaha-usaha pendidikan as-Sunnah.

Saya mengalu-alukan kedatangan dan komen darpada pelajar-pelajar SMK St. Joseph yang mendengar dan mengikuti kuliah hadith saya yang masih dalam perbincangan tarikh permulaannya. Begitu juga dengan pelajar-pelajar dari sekolah lain, saya amat mengalu-alukan kedatangan dan komen anda.

Akhirul kalam, saya berharap agar anda sudi mendoakan pahala untuk saya, keampunan serta diberi kekuatan meneruskan penyebaran ilmu, terutama ilmu pengajian as-Sunnah. Kepada Allah kembali segala harapan dan kebaikan.



Al-Faqir al-Haqir ila Rahmatillah,
Ibnu Abdul Taib al-Yusufi
SMK St. Joseph, Kuching
lukhman_conan[at]yahoo[dot]com[dot]my